Thursday, 26 September 2013

Bab 1

BAB 1

Tahun 2006

Hujan turun renyai-renyai pagi itu saat tubuh kaku Pak Mirza diturunkan dari van jenazah. Matahari juga seakan malu menunjukkan wajah seolah-olah turut berkabung diatas kepergian Pak Mirza. Agak ramai juga sahabat handai dan kaum keluarga yang turut serta menghantar Pak Mirza dalam perjalanan terakhirnya pagi itu. Dari jauh kelihatan seorang gadis manis dan seorang wanita pertengahan usia berpelukan erat sambil menyeka air mata yang tiada hentinya dari tadi. Itulah Alya Izzara anak kesayangan Pak Mirza dan ibunya Mak Hanim.

Didalam liang lahad Amer Izwan anak sulung Pak Mirza telah sedia menanti untuk menyambut jenazah ayahnya. Turut bersama membantunya dua orang kenalan rapat ayahnya. Itulah khidmat terakhirnya kepada arwah. Malahan sebelumnya tadi dia turut sama memandi, mengafan malah mengimamkan solat jenazah ayahnya. Hasrat ayahnya untuk melihat dia memulakan kerjaya sebagai pendidik anak bangsa nampaknya tidak kesampaian. Ayahnya banyak memberi dorongan dan inspirasi untuk dia menjadi seorang guru. Itu adalah cita-cita ayahnya semasa muda dahulu, tetapi kerana desakan hidup, ayahnya hanya mampu menjadi pemandu peribadi kepada sebuah keluarga hartawan yang baik hati. Tidak sempat dia membalas jasa dan pengorbanan ayahnya selama membesarkan mereka dua beradik. Ditoleh sekilas adik dan ibunya, syukur dipanjatkan kerana tidak lama lagi dia akan mula bekerja maka tidaklah keluarganya terumbang-ambing hilang tempat bergantung. Alya bakal menduduki SPM tahun hadapan. Sekilas Amer menoleh kepada adik dan ibunya.
"Aku harus kuat menghadapi dugaan ini " bisik hati kecil Amer Izwan.

Sebaik habis talkin dibaca, Mak Hanim lah orang pertama yang menyiram pusara Pak Mirza dengan air mawar diikuti oleh Amer Izwan dan Alya Izzara. Kemudian kelihatan srpasang suami isteri yang berpenampilan agak bergaya dan terhormat pula menyirami pusara. Mereka adalah Datuk Maliki dan Datin Soeraya majikan arwah Pak Mirza dan Mak Hanim. Beberapa orang ahli kelurga terdekat dan sahabat handai turut tidak melepas peluang. Mereka amat sedih kehilangan seorang saudara dan sahabat yang amat disenangi peribadinya.
" Amer, beritahu Tok Imam dan jemaah masjid uncle akan buat majlis tahlil selama tiga malam di rumah selepas Isya'. Jemput mereka hadir ya" Datuk Maliki berkata lembut sambil menepuk-nepuk bahu Amer Izwan.
" Eh! tak apalah uncle. Saya cadang nak buat di masjid sahaja. Tak payahlah uncle susah-susah. Banyak dah uncle tolong uruskan ni." Amer Izwan tidak sedap hati mendengar permintaan Datuk Maliki.
" Apa yang susahnya Amer, ayah kamu tu uncle dah anggap macam abang uncle sendiri. Janganlah hampakan hajat uncle ni." kata Datuk Maliki lagi penuh harap. Tangan Amer Izwan diraih Datuk Maliki lalu digenggam erat. Penuh kasih sayang seperti ayah dan anak.
" Kalau dah uncle kata macam tu, ialah.... saya ikut aje mana yg baik." Amer Izwan mengalah. Tidak sanggup mengecewakan permintaan orang yang banyak jasa kepada keluarganya.

"Alya.... sudahlah tu. Tak baik kita bersedih lama-lama macam ni. Yang dah pergi biarkan dia pergi dengan tenang. Alya anak yang baik. Alya anak yang kuat. Doakan semoga roh ayah Alya aman disisiNya ya nak." Kepala Alya Izzara diusap lembut Datin Soeraya.Alya Izzara tidak bersuara. Mukanya disembamkan kedada Datin Soeraya. Terhinggut- hinggut bahunya menahan tangis dari kedengaran. Datin Soeraya mengusap lembut belakang badan Alya Izzara, cuba meredakan esakan kecil Alya Izzara.
"Allah itu tidak kejam Alya.Dia tidak menduga dan menguji hambanya saja-saja. Pasti ada hikmah disebalik setiap rencanaNya.Hidup dan mati itu takkan lewat atau cepat walau seminit bahkan sesaat pun dari apa yang telah tertulis di luh mahfuz.Jangan sesekali kita mempertikaikannya. Terima dengan redha ya sayang. Alya kena kuat, Alya kena tabah, sebab ibu Alya sangat memerlukan Alya dan abang Amer sekarang. Kalau ikutkan, ibu Alya lah orang yang paling sedih sekali dalam kehilangan ini. Dia bukan saja kehilangan suami, tapi kehilangan seorang teman dan juga bapa kepada anak-anaknya yang telah bersama puluhan tahun, bukan sehari dua mereka meniti hidup bersama." Alya terpujuk dengan kata-kata Datin Soeraya. Kepalanya diangkat. Airmatanya diseka dengan hujung tangan baju kurungnya.
"Alya bukan tidak boleh terima kenyataan aunty, tapi Alya terkejut sebab ayah tak pernah mengadu yang dia sakit atau tidak sihat.Baru semalam kami bergurau senda dan ketawa riang. Tiba-tiba malam tadi ayah batuk-batukdan sesak nafas. Saat Doktor Hisham kata ayah telah pergi kerana serangan jantung, Alya rasa macam jiwa Alya direntap pergi sekali." Alya bersuara serak. Cuba menahan tangisan.
" Sudahlah Alya. Kita terima dengan redha ya sayang. InshaaAllah pasti ada hikmah disebalik semua yang terjadi" Suara Mak Hanim menyapa telinga Alya Izzara. Mak Hanim duduk disebelah Alya Izzara sambil mengusap lembut kepalanya. Alya Izzara lepaskan pelukan Datin Soeraya dan beralih kepada ibunya.
" Bila kita beriman dengan rukun yang enam pasti kita terima dengan redha setiap rencanaNya. Alya ingatkan pesanan arwah ayah?" Mak Hanim pegang muka Alya Izzara. Satu kucupan hangat singgah lama didahi anaknya itu. Alya menggangguk-angguk kepala perlahan.
" Alya akan ingat segala pesanan dan didikan ayah sampai bila-bila. Maafkan Alya ibu sebab dah buat semua orang susah hati. Maafkan Alya aunty." Alya Izzara toleh kepada Datin Soeraya. Ada segaris senyuman dibibibir gadis berusia enam belas tahun itu.
" Ya, aku mesti kuat, aku mesti redha ,aku mesti tabah." bisik hati kecil Alya Izzara.
" Maafkan Alya ibu, Alya janji Alya tidak akan sedih lagi.Alya redha, Alya akan buktikan pada ayah yang Alya anak yang kuat. Alya tak akan kecewakan semua orang yang sayangkan Alya." Mak Hanim dan Alya berpelukan. Perlahan-lahan mereka bertiga meninggalkan kawasan perkuburan itu mengikuti langkah Datuk Maliki dan Amer Izwan yang telah hampir kepintu utama tempat mereka memarkir kereta.
" Selamat tinggal ayah, semoga bersemadi dengan aman. Bila Alya lapang, Alya akan datang lawat ayah." bisik hati Alya saat dia menoleh buat kali terakhirnya ke pusara Pak Mirza. Sepasang mata yang sedari tadi memerhati secara senyap dari kejauhan akhirnya beralih kearah lain. Kakinya turut melangkah bersama diiringi dedaunan dan bunga kemboja yang gugur ditiup angin.



No comments:

Post a Comment