" Shafa... Saranghae... " Jejaka kacak tinggi lampai macam galah ni meluahkan perasaannya pada aku? Biar betik Shafa oii.. Tanganku diraih lalu dibawa ke mukanya. Lama dan hangat sekali tangan ku dikucup. Arghhhh... melting... melting... Aku cubit pipi, ouchh! sakit. Aku cubit lengan, pun sakit. Sah! Memang sah ini bukan mimpi. Arghhh bertuahnya kau Shafa... Aku ingatkan selama ni aku cuma bertepuk sebelah tangan je. Tak rugi aku menyimpan perasaan padanya sejak tiga tahun yang lalu. Oh... indahnya dunia...
" Oppa... dangsin-eul saranghabnida.." Wajahku yang merona aku tundukkan kebawah. Tak sanggup rasanya merenung sepasang mata yang amat aku gilai itu saat ini. Sengih aku sampai ke telinga. Omma! Shafa gembira sangat ni omma, rasa macam menang loteri! Eh, Shafa takde ke benda yang halal sikit kau nak samakan. Errr... Rasa macam menang cabutan sijil simpanan premium hadiah utama dah ni. Tak sia-sia omma izinkan Shafa datang Korea ni, dapat gak Shafa bawak balik menantu import untuk omma. Wah! Gedik tahap petala dah kau ni Shafa. Wajahku disentuh lembut, aku beranikan diri menatap sepasang mata yang sering aku rindui, rasa macam nak sentuh je bibirnya yang merah dan selalu basah dengan senyuman, ringan je tanganku nak menarik hidungnya yang mancung tu. Kronik dah kau ni Shafa... Wajahnya mendekati wajahku. Semakin dekat. Aku pejamkan mata, ambil feeling gila-gila.
" Shafa... Dangsin-eun jeowa gyeolhon hal geos-inga?" What? Oppa melamar aku? Tolonglah... tolonglah jangan kata semua ni mimpi. Mahu koma aku kalau semua ni sekadar mimpi. Rama-rama dalam perut dah buat tarian Nobody dari Wondergirls. Aku buka mata. Yes! Ada lagi... sah bukan mimpi.
" Oppa..." Balasku manja. Huihh... manjalah sangat kan....
" Shafa......."
" Oppa...." volume suara aku dah antara dengar dengan tak je ni.
" Shafaaaaaaaa!!!!!!!!!!"
" Hoi! mak kau oppa." Bedebub... Tahu-tahu Shafa dah buat kuak lentang dekat bawah katil. Melilau dia cari sang kekasih hati.
" Adoilah... sakitnya." Shafa menggosok belakang punggungnya yang kebas.
" Oppa, dangsin-eun eodi?" Shafa selak bawah cadar, bawah selimut, celah bantal. Mana pulak perginya oppa aku ni?
" Oppa.. oppa... opah kau!" Kepala Shafa ditunjal keras. Rasa nak tumbang.
" Omma! Bila omma sampai? Rindunya Shafa dengan omma... Omma, ada nampak oppa tak?." Wajah tua Mak Chah dicium-cium Shafa. Macam tak jumpa sepuluh tahun. Mak Chah lap pipinya yang bersememeh dengan air liur basi Shafa. Buntang bijik mata Shafa bertanyakan oppanya pada Mak Chah. Sekali lagi Mak Chah tunjal kepala Shafa. Lebih kuat.
" Omo..omo..omo..." Eh? sejak bila pulak aku pun tau cakap korea ni? Mak Chah pelik. Sudah... berjangkit pulak dah penyakit kpop si Shafa ni dekat aku.
" Oppa.. oppa... opah kau kan dah lama meninggal Shafa.Cubalah kau bawak-bawak sedekahkan Al-Fatihah kalau ye pun rindu sangat..." Bebel Mak Chah. Bantal dan selimut yang bersepah diangkatnya keatas katil.
" Hah? Dah meninggal? Bila? Baru je oppa melamar Shafa omma.." Shafa dah mula nak menangis. Lengan baju kurung kedah Mak Chah ditarik-tarik Shafa macam nak koyak.
" Kau ni dah kenapa Shafa? Ashhadualla illaha illallah... Waashhadu anna muhammadur rasullullah. Syuh! syuh! pergi kau hantu korea. Jangan kau ganggu anak cucuku." Mak Chah membisikkan kalimah shahadah ke telinga Shafa. Serentak itu dia meniup ubun-ubun Shafa dan seolah-olah menarik sesuatu dari kepala Shafa lantas dibuangnya ke tingkap.
" Mak! Ala... apasal mak kacau mimpi Shafa. Baru je nak masuk adegan romance-romance tadi. Ishhh... Kacau daun lah mak ni." Shafa betul-betul dah menangis. Dia ada 3 sebab untuk meraung saat itu. Pertama, dia ingat betullah tadi oppa meluahkan perasaan padanya. Kedua dia baru je nak jawab "I do" waktu oppa melamarnya dan ketiga yang paling teruk sekali semua tu hanyalah mimpi. Arghhh!!!! Tidak!!!! Shafa menjerit sambil meramas-ramas rambutnya. Yieuw... dah rupa hantu Ju On...
" Banyaklah kau punya romance. Berdosa kau tau tak mimpi macam tu. Tengok lah lagi segala drama, variety show korea tu siang malam. Sampai termimpi-mimpi. Apa nak jadi kau ni Shafa. Kerja tak nak. Belajar tinggi-tinggi, lepas tu melangut kat rumah layan cerita korea kau tu. Dah pukul berapa ni cuba kau tengok jam tu? Dah tak reti-reti pergi hantar nasi lemak dengan kuih mak tu kat gerai Pak Lang. Mengamuk pulak orang tua tu karang pelanggannya lari. Kalau pelanggan dia lari, mak kau ni jugak yang tak masyuk nanti." Radio karat Mak Chah dah mula bersiaran. Shafa tutup telinga dengan tangan. Sambil menghentak-hentakkan kaki dia capai tuala lalu keluar dari bilik menuju ke bilik air. Pintu ditutup kuat tanda tak puas hati.
" Geramnya!!!!!!! " Jerit Shafa didalam bilik air tiba-tiba.Terbayang-bayang wajah Lee Min Ho sedang melamarnya dalam kolah mandi. Huahhhh!!! Shafa dah meraung.
" Hoi! Apalagi kau tu Shafa? Terjerit-jerit macam orang gila. Buat lah perangai macam tu, jangan kau mimpi la pakwe korea nak ngorat kau, pakwe indon pun belum tentu hingin." Mak Chah saja bakar perasaan Shafa. Suka dia mengusik anak daranya itu. Shafa anak yang baik walaupun perangainya kadang-kadang buat Mak Chah ada potensi dapat sakit jantung.
Shafa memarkir motosikal Modenas Kriss arwah ayahnya betul-betul dihadapan gerai Pak Lang. Tudung bawal yang sedikit herot ditiup angin dibetulkan. Sebuah bakul yang sarat dengan bungkusan nasi lemak dijinjing dengan tangan kanan. Sebuah lagi bakul yang berisi dengan bekas-bekas kuih muih di tinggalkan dulu di motosikal itu.
"Assalamualaikum Pak Lang, Mak Lang mana? Tak nampak pun." Sapa Shafa lembut. Salam bersambut.
" Ada, kejap lagi sampailah Mak Lang kau tu Shafa, tertinggal barang pulak dekat rumah. Tu yang dia patah balik kejap." Jawab Pak Lang. Shafa senyum sambil menganggukkan kepala.
Lincah tangan Shafa menyusun atur nasi lemak buatan mak nya di atas meja. Setiap meja dietakkan sepuluh bungkus. Ada lima meja semuanya. Shafa pergi semula mendapatkan sebuah lagi bakul yang tersangkut pada motosikal. Sebuah Mercedes Benz warna metalik berhenti berhampirannya. Shafa pandang dengan tanda tanya. Orang paling kaya kat kampung aku ni YB Johari. Kereta dia pun Mercedes jugak, tapi rasanya ni bukan kereta dia. Hai, orang kaya mana pulak yang tersesat kat kampung aku pagi-pagi ni? Fikir Shafa. Dia kembali ke meja didalam gerai lalu menyusun pula bekas-bekas kuih. Ada karipap, keria, kuih lapis, kuih koci dan pulut panggang pagi ini. Maknya memang rajin, kalau ikutkan pencen arwah ayahnya dan juga kiriman wang dari abangnya Shafiq lebih dari cukup untuk makan pakai mereka dua beranak. Itu belum lagi dikira duit rumah sewa yang ada tiga pintu dibaruh. Tetapi memang maknya jenis yang tak suka duduk diam. Nanti sakit badan katanya kalau tak buat apa-apa kerja. Sudahnya, setiap pagi nasi lemak dan kuih muih maknya akan memenuhi meja digerai Pak Lang ini dan sebelah petang pula maknya akan mengajar anak-anak kampung itu mengaji Al-Quran.
" Assalamualaikum." Seorang lelaki separuh abad yang keluar daripada bahagian belakang kereta mewah tadi memberi salam.
" Waalaikumsalam." Serentak Shafa dan Pak Lang menjawab. Dua tiga orang pelanggan yang sedang bersarapan didalam gerai turut memandang kearah lelaki separuh abad yang masih segak itu. Mungkin mereka menjawab salam didalam hati. Sebab Shafa tak dengar pulak mereka menjawab. Hehehe bersangka baik Shafa...
" Maaf, tumpang tanya. Rumah arwah Haji Sulaiman dimana ye? Saya ni kawan lama arwah. Ada hajat sikit nak jumpa keluarga arwah." Pak Lang sambut huluran salam yang dihulur lelaki itu.
" Oh. Arwah Haji Sulaiman Mokhtar ke? Ada dua Sulaiman kat kampung ni. Tapi yang sorang lagi tu Alhamdulillah, belum arwah lagi." Pak Lang buat lawak antarabangsa pulak pagi-pagi ni. Pecah ketawa dua orang tua tu. Apa yang kelakar entah fikir Shafa.
" Betul-betul. Sarjan Sulaiman Mokhtar. Kami ni sama-sama dalam tentera dulu." Lelaki separuh abad tu mengiakan kata-kata Pak Lang. Huih.. patutlah segak walaupun dah berumur, bekas tentera macam arwah ayah rupanya. Tapi, tak pernah pulak aku tengok kawan ayah yang sorang ni... Fikir Shafa.
" Hah, kalau arwah Sulaiman tu, ni hah anak dia. Langkah kanan betul la encik ni." Kata Pak Lang. Pak Lang panggil Shafa suruh dia mendekati mereka. Shafa hulur tangan pada lelaki itu. Hormat Shafa tunduk menyalami lelaki tersebut.
" Subhanallah, Nur Shafa Hanna ye? Dah besar panjang. Cantik.. Dulu masa duduk kat berek comot je hahaha." Puji sambil mengutuk namanya tu Shafa. Pakcik tu ketawa. Shafa senyum sampai telinga bila kena puji.
" Maaflah pakcik, Shafa tak ingat lah pakcik. Kecik sangat kot time tu." Shafa menjawab hormat.
" Ya lah... Kali terakhir kita jumpa Shafa umur 6 tahun. Lepas tu pakcik ditukarkan ke Sarawak. Sejak tu tak jumpa lagi kita." Pakcik tu ramah bercerita.
" Pakcik nak jumpa mak ke? Jom lah. Shafa memang nak balik dah ni. Shafa jalan depan pakcik ikut belakang ye." Shafa kutip bakul-bakul kosong lalu diletakkan didalam raga motor. Pak Lang datang mendekati Shafa.
" Nah Shafa, duit semalam. Pesan dekat mak kau esok nasi lemak nak extra tiga puluh bungkus buat asing. Cikgu Sofiah tu nak bawak sekolah, ada majlis tahlil dekat sekolah katanya. Hantar sebelum pukul 7.15 ye." Pesan Pak Lang.
" InsyaAllah Pak Lang. Terima kasih.." Shafa sambut duit yang dihulur Pak Lang.Dia hidupkan enjin motosikal.
" Macam tu bang, saya gerak dulu lah ye. Terima kasih. Assalamualaikum." Pakcik tu bersalaman denga Pak Lang. Salam bersambut. Dia menuju ke keretanya. Pemandunya terus mengikut Shafa dari belakang yang telah pun membelah angin pagi dengan motosikalnya.
" Mak, betul ke dulu kita rapat dengan keluarga pakcik tu? orang tak ingat langsung lah " Tanya Shafa sebaik sahaja kereta mewah yang membawa Tan Sri Zaharul tadi hilang dari pandangan.Terkejut Shafa sebaik pakcik tu berjumpa dengan maknya pagi tadi dia dengar maknya panggil pakcik tu Tan Sri. Humangai... selambo yo den panggil dio pakcik.
" Eleh... dulu kau tu bukan main gatal lagi dengan anak dia si Azad tu. Main bersama, makan bersama, ke mana-mana bersama, kalau Shafa sakit tak datang tadika, hah alamatnya, Azad pun tak pergi sekolah jugak. Menempek je lah jadi doktor tak bertauliah." Mak Chah bukak buku sejarah.
" Ish... Ye ke? Kalau rapat macam tu sekali mesti lah orang ingat. Ni langsung takde satu pun kenangan dengan dia yang orang ingat." Shafa garu kepala yang tak gatal. Dia hairan semasa pakcik tu dan maknya rancak berbual tentang dirinya dulu dia langsung tak ingat satu pun. Anaknya Azad tu pun Shafa langsung tak boleh nak imagine rupanya macam mana. Handsome sangat ke sampai aku melekat macam kena glu fikir Shafa lagi.
" Agaknya kesan dari demam panas kamu dulu tu lah yang sampai kamu dah tak ingat apa-apa tu." Hiba suara Mak Chah tiba-tiba.
" Apa kaitan demam dengan jadi lupa?" Tanya Shafa. Aik, aku pernah hilang ingatan ke dulu? Nasib baik kau tak mereng Shafa. Demam panas bahaya woo...
" Bila kamu dapat tahu yang Azad dan keluarganya kena pindah ke Sarawak. Kamu terus merajuk, tak nak makan, tak nak minum, tak nak bercakap. Asyik menangis je. Anak patung hadiah dari Azad pun kamu buang dalam longkang. Kamu kata Azad dah tak sayang kamu lagi. Sampaikan hari Azad nak berangkat dengan keluarganya pun kamu tak nak jumpa mereka." Cerita Mak Chah.
" Mak, ni cerita betul ke fiksyen semata-mata ni mak? Dah macam telenovela je." Shafa buat muka curiga.
" Betul lah. Budak bertuah ni. Takde maknanya mak nak mereka-reka cerita." Marah Mak Chah.
" Takdelah, sedangkan kisah-kisah yang berlaku lebih lama dari tu pun orang boleh ingat sikit-sikit, tapi kenapa orang langsung tak ingat diorang ni semua." Shafa masih tak berpuas hati.
" Mungkin sebab Shafa dah berjanji pada diri Shafa yang kalau Azad pergi jugak, Shafa takkan ingat dekat dia lagi. Shafa nak lupakan segala memori Shafa dan Azad buat selamanya. Seminggu Shafa demam asyik teringatkan Azad, tapi bila mak dengan ayah sebut nama Azad je Shafa terus mengamuk, baling barang. Sejak tu kami tak pernah lagi sebut pasal Azad depan Shafa." Kata-kata Mak Chah macam tak dapat diproses oleh otak Shafa. Gila gedik aku dulu kecik-kecik. Umur baru 6 tahun dah pandai falling in love bagai. Frust menonggeng pulak tu bila boyfriend pindah. Hahaha lawak lah kau ni Shafa. Ni kalau buat status kat FB ni mau dapat dua tiga ratus like ni. Shafa geleng-gelang kepala tanpa sedar.
" Tapi Azad ada datang jumpa mak sebelum pergi. Dia suruh mak sampaikan pada kamu yang dia tak akan lupakan kamu. Bila dia dah besar dan banyak duit nanti dia akan datang meminang kamu. Terkejut mak ngan ayah masa tu. Seorang budak umur 9 tahun boleh cakap macam tu dengan berani bersaksikan keluarganya. Dia suruh ayah dan mak janji takkan kahwinkan Shafa dengan orang lain. Tunggu sampai dia datang balik. Nak sedapkan hati dan jaga air muka Azad masa tu, ayah pun janji." Mak Chah gelak. Mungkin teringat kembali saat anaknya dilamar budak lelaki umur 9 tahun.
" Hish!!! Azad tu dah gila ke?" Tanya Shafa. Muncungnya dah boleh buat sidai tuala.Biar betul mak aku ni. Macam tak caya je perangai aku dulu macam tu. Agak-agak lah...
" Shafa... mak dan ayah tak pernah cerita semua ni dekat Shafa sebab kami takut Shafa sakit balik. Kami tak tahu apa yang Allah rencanakan untuk Shafa. Tapi kami nampak keikhlasan dalam mata Azad masa tu. Jadi mak dan ayah cuma menurut sahaja aturan takdir yang tertulis. Kalau betul kamu berjodoh takde siapa dapat menghalang." Mak Chah peluk Shafa. Kepala anaknya diusap-usap lembut.
" Alah... budak-budak lah mak. Jangan cerita lagi lah. Malu pulak Shafa dengar, gatal jugak Shafa masa kecik-kecik dulu kan mak hehehe..." Shafa senyum. Mukanya merah tanda segan.
" Tapi Shafa... tuan punya badan dah datang tagih janji dengan mak. Apa mak nak jawab ni?" Mak Chah renung muka Shafa minta penjelasan. Erk! Shafa tercekik telan air liur sendiri.
" A.a...apa maksud mak ni?" Haih.. tiba-tiba gagap Shafa?
" Pakcik Zaharul datang tadi bawak hajat nak sunting Shafa untuk Azad.Macam mana? Setuju tak?" Tanya Mak Chah.
" Hah?" Shafa tumbuk-tumbuk dadanya. Sebelah lagi tangan pegang tengkuk. Tiba-tiba boommm!! Shafa dah jatuh terlentang.
" Eh? Pengsan ke? Pandai pulak cari tempat nak jatuh pengsan ye? Baik punya landing atas kusyen. Kenapa tak nak jatuh je kat atas lantai simen ni? Kamu tak payah nak drama queen dengan mak lah Shafa oii... Tak termakannya mak dengan lakonan drama korea kamu tu. Mak nak kamu fikir masak-masak. Lagi seminggu Pacik Zaharul datang minta jawapan. Kalau kamu setuju, terus majlis risik.Suruh kerja pun taknak. Gantung je lah ijazah kau tu buat hiasan dinding. Tak habis-habis dengan bisnes tudung online kamu tu. Kahwin je lagi elok. Cepat sikit mak dapat main dengan cucu." Selamba Mak Chah melangkah ke dapur meninggalkan Shafa yang dah nak meroyan kat tengah rumah.
" Mak!!!!! Orang tak nak lah!!! Orang tak kenal dia pun" Jerit Shafa. Eh, mak aku ni. Dia pandang rendah bisnes tudung aku ni. Sebulan masyuk riban-riban apa?
" Takde maknanya tak kenal. Tu gambar Azad ada dalam sampul surat atas meja tu. Tengoklah sendiri." Mak Chah menjawab dari dapur.
" Tak hingin nak tengok. Arghhhh!!! Oppa... dowajuseyo!!!" Tersampuk balik dah hantu korea si Shafa ni. Shafa renung beg duitnya. Macam lah gambar Lee Min Ho yang ditatapnya tu boleh menjawab. Habis lah kau Nur Shafa Hanna.
Nak tengok ke tak? Nak tengok ke tak? Shafa dok berperang dengan hati sama ada nak buka sampul coklat yang Mak Chah serahkan padanya sebentar tadi atau tidak. Entah-entah gemuk, pendek pastu tak handsome. Tu dia syaitan dah datang tabur baja dalam kepala otak Shafa. Hoi, Shafa.. agak-agaklah... bapak dia handsome kut walaupun dah tua. Mesti anak dia pun handsome. Hati Shafa menjawab. Hah, Betul-betul. Hati Shafa berbunga-bunga kejap. Tapi Shafa, kau tak tengok muka arwah mak dia Shafa. Entah-entah mak dia tak lawa. Azad pulak ikut muka mak dia. Hey, ada yang kena ikat walaupun bukan bulan puasa ni karang. Shafa dah mula naik gila. Ahh.. Bukak je la. Bukan rugi pun. Shafa pejam mata, Perlahan-lahan tangannya menarik sekeping gambar dari dalam sampul surat itu. 123 mata dibuka dan... toiinggggg!!!! nasib baik tak tergolek biji mata Shafa jatuh ke lantai. Gambar yang sekeping itu ditatap. Mukanya merah menahan marah. Bengong punya Azad!! Marahnya dalam hati. Bagilah gambar sekarang, yang terkini. Gambar masa umur 9 tahun ni nak buat apa? Arghh!!! Micheossuh Azad shi.... Michyeoganda!! Gambar lusuh itu di campaknya ke lantai. Ada tulisan dibelakangnya. Shafa ambil dan baca.
" Walaupun gambar tak mampu berkata-kata namun ada seribu satu cerita disebaliknya. Jika kita selami dan hayati dengan hati yang tenang, maka kita akan dapat mengembara ke masa silam walaupun hanya dengan sekadar melihatnya. Nur Shafa Hanna lihat dengan mata hati dan bukan dengan mata kasar. InsyaAllah kau akan temui jawapan yang kau cari.... Azad Hadif."
Shafa pusingkan kembali gambar tersebut. Kelihatan dia dalam lingkungan umur 6 tahun sedang memeluk teddy bear sambil mencangkung memandang ke tanah. Seorang budak lelaki yang turut mencangkung disisi seolah-olah sedang menulis sesuatu ditanah. Shafa kecilkan mata. Cuba mencari jawapan. Gambar diterbalikkan. Finally!!!! Dia jumpa apa yang dia cari. Di tanah itu tertulis " Azad love Shafa forever" Airmata Shafa bercucuran seperti ada pili di matanya. Hatinya tiba-tiba sebak dan pedih. Segala kenangannya bersama Azad seperti dimainkan perakam video melintasi setiap ruang fikirannya. Memori indah bersama Azad kini kembali.Gambar itu dibawa kedadanya. Dia menangis teringatkan Azad hingga dia tidak sedar bila matanya lelap. Malam itu tiada lagi mimpi Lee Min Ho, yang ada hanyalah mimpi sepasang kanak-kanak yang begitu bahagia dan riang bersama-sama.
Shafa mundar mandir dalam biliknya. Panggilan telefon dari abangnya tadi betul-betul mengganggu fikirannya. Menurut kata abangnya Azad kini sedang bertugas di Lubnan dengan pasukan Mallbatt 4. Sudah setahun rupanya Azad mengikuti misi keamanan PBB oleh Tentera Darat Malaysia. Baru Shafa tahu, walaupun Shafa tidak mengingati Azad sebelum ini, tetapi persahabatan abangnya dan Azad tidak pernah terputus. Malah mereka bersahabat baik sampai sekarang. Abangnya Shafiq lah yang menjadi mata dan telinga Azad selama ini. Setiap perkembangan Shafa semuanya dilaporkan kepada Azad. Azad yang menyuruh abangnya merahsiakan semua ini kerana bimbang Shafa akan jatuh sakit lagi jika Shafa tahu tentangnya. Shafa selalu hairan kenapa setiap tahun dia akan menerima dua hadiah daripada abangnya bila tiba ulangtahun kelahirannya. Tetapi Shafiq hanya menjawab sebab dia sayangkan Shafa, sebab tu dia belikan dua hadiah . Sekarang baru Shafa tahu, satu daripada hadiah itu rupanya daripada Azad yang dikirim melalui Shafiq.
Shafa benar-benar dilema. Betulkah Azad begitu menyayanginya? Walaupun dia sudah dapat menerima kehadiran Azad kecil dalam hidupnya tetapi dia langsung tidak tahu bagaimana Azad yang dewasa kini. Menurut abangnya lagi pagi jumaat ini penerbangan pulang pasukan yang disertai Azad akan sampai ke tanahair. Azad harap Shafa dapat sama menunggu kepulangannya di lapangan terbang. Shafiq sendiri telah mengesahkan yang dia akan sampai malam esok untuk membawa Shafa dan Mak Chah menyambut kepulangan Azad. Sayup-sayup kedengaran laungan azan Isya' memanggil umatnya mendirikan rukun islam yang kedua. Shafa bangun menuju kebilik air. Selepas berwudhu, Shafa sarung telekung dan bersolat. Sejurus habis berdoa, Shafa kembali qiam. Solat sunat istikharah pula didirikan. Begitulah rutin Shafa sejak dua malam yang lalu. Shafa perlu bantuan dan petunjuk daripada Allah SWT dalam menyelesaikan masalahnya. Malam itu seperti dua malam yang sebelumnya, tidur Shafa ditemani mimpi indah dia dan Azad sewaktu kecil. Subhannallah, Shafa yakin kini dengan takdirnya.
Selepas solat Subuh, Shafa bersiap seadanya. Baju kurung moden potongan peplum warna biru muda itu dipadankan dengan sehelai shawl warna kuning lembut motif abstrak. Lilitan mudah dilakukan. Malas pula dia nak melilit-lilit extream shawl nya pagi ini. Hatinya sangat berdebar. Sesekali tangannya menggigil. Sebiji kerongsang bentuk rama-rama dijadikan pelengkap hiasan shawlnya. Bibirnya dioles dengan lip gloss merah muda perisa strawberi. Wajahnya sekadar berbedak nipis. Shafa mengakiri solekannya dengan menyapu sedikit maskara pada bulu matanya yang sudah sedia lentik.. Cukuplah. Over tau kau ni Shafa. Macam nak sambut laki balik je.Opss... pembetulan, bakal laki hehehe Shafa gelak dalam hati. Angau dah kau ni Shafa.
" Assalamualaikum pakcik." Shafiq menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Tan Sri Zaharul sebaik mereka bertemu di kafeteria berhampiran Hotel Concorde Shah Alam tempat mereka sekeluarga menginap. Malam tadi selepas Isya' mereka sekeluarga bergerak dari Masjid Tanah Melaka menaiki kereta baru Shafiq. Bukan main bangga lagi dia menayang kereta barunya itu. Mak Chah pula sekadar memanjatkan syukur di atas rezeki anaknya. Bila Shafiq telefon beritahu dia nak balik bawa buah hati baru, betul-betul Mak Chah fikir dia nak jumpa bakal menantu. Rupa-rupanya besi beroda warna putih tu yang menjalar masuk halaman rumahnya malam semalam.
" Waalaikumsalam." Shafiq berpelukan dengan Tan Sri Zaharul. Shafa turut bersalaman. Kepala Shafa diusap-usap Tan Sri Zaharul.
" Cantik anak papa hari ni. Terima kasih Shafa sebab sudi jemput kepulangan Azad hari ni. Tentu Azad gembira." Shafa cuma senyum manis. Anak? Dia panggil kau anak Shafa? Hahaha habislah kau Shafa.
" Kak Chah, dua tiga hari ni terbau-bau nasi minyak dekat hidung saya ni. Apa maksudnya ye Kak Chah?"
Tan Sri Zaharul sengaja mengusik Shafa.
" Oh... tu tandanya tak lama lagi ada kenduri la kat umah kita Zaharul." Amboi ... galak tau mak aku ni. Shafa muncungkan mulut sebaik mendengar jawapan Mak Chah.Shafiq yang mendengar hanya ketawa. Belum sempat dia mencelah sebuah cubitan singgah dipinggangnya. Terus hilang ideanya nak menyakat Shafa. Shafa senyum simpul melihat abangnya yang sedang menggosok tempat yang dicubitnya tadi. Hahaha padan muka.
" Jomlah, kita sarapan. Pukul 9 nanti InsyaAllah sampailah kapal terbang Azad tu." Tan Sri Zaharul membuat tempahan sebaik di hampiri pelayan. Selesai bersarapan mereka meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Tentera Udara Subang. Disitulah Pasukan Mallbatt 4 akan tiba sebentar lagi. Debaran hati Shafa semakin menggila. Pertemuan semula selepas dua puluh dua tahun. Macam jejak kasih daa... Hadiah yang dibelinya semalam untuk Azad digenggam kemas ditangan. Harap menepati citarasa Azad doanya.
Ruang menunggu di Pangkalan Udara Subang itu sesak dan riuh rendah dengan kaum keluarga dan sanak saudara yang menanti kepulangan insan tercinta. Para wartawan juga turut sibuk membuat persiapan liputan yang akan dibuat. Shafa dan keluarganya mengambil tempat di suatu sudut yang berdekatan dengan pintu keluar. Beberapa kenalan Tan Sri Zaharul datang bersalaman dan bertanya khabar dengannya. Terkejut Shafa sewaktu Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang selalu hanya dilihat dikaca televisyen berdiri dihadapannya. Lagi dia terkaku bila dengan selamba Tan Sri Zaharul memperkenalkannya sebagai bakal isteri Azad. Nasib baik dia tidak pengsan. Tiba-tiba pengumuman ketibaan para parajurit yang telah tiba kedengaran. Semua orang yang ada terus berpusu-pusu ke hadapan pintu balai utama ketibaan. Shafa terharu melihat anak-anak kecil yang begitu ceria menanti kepulangan ayah mereka. Ada yang membawa jambangan bunga, ada yang membawa hadiah. Sebaik sahaja anggota keluar dari pintu utama terdengarlah jerit pekik dan tangisan gembira yang tidak pernah Shafa bayangkan selama ini. Arwah ayahnya dulu tidak pernah ditugaskan diluar negara. Jadi dia tidak ada pengalaman berpisah seperti mereka. Dia hanya menangis tersedu-sedan sewaktu ayah dan maknya hendak ke Mekah menunaikan haji sahaja enam tahun dulu dan sekali lagi sewaktu ayahnya pergi buat selama-lamanya dua tahun sudah. Shafa merasa sebak melihat isteri-isteri parajurit menyambut kepulangan suami yang dicintai dengan pelukan dan airmata. Hampir semua yang ada menitiskan airmata menyambut bangga kepulangan perwira negara. Debaran di hati Shafa semakin kuat saat seorang lelaki segak dan tegap lengkap berpakaian tentera datang menghampiri mereka. Kakinya tiba-tiba lembik seakan tak berpijak di bumi. Mak aiii..... handsomenya!!! jerit hati Shafa. Tak dapat Lee Min Ho dapat Lee Dong Wook pun jadi la. Hahahah menyempat lagi kau ni Shafa.
" Tuan! Mejar Azad Hadif melaporkan diri. Tuan!" Azad beri tabik hormat pada Tan Sri Zaharul. Tan Sri Zaharul turut mebalas tabik hormat. Seketika kemudian kedua beranak itu berpelukan mesra. Lama sekali. Bahu Azad ditepuk-tepuk mesra Tan Sri Zaharul. Walaupun tiada airmata yang mengalir diwajah Tan Sri Zaharul tetapi Shafa tahu, dia sangat sebak dengan kepulangan anaknya yang telah setahun terpisah. Azad menyalami tangan Mak Chah dengan hormat. Kemudian dia berpelukan mesra dengan Shafiq. Saat Azad menghampirinya Shafa, hanya senyuman manis yang dapat diberikan Shafa.
" Welcome home." Hanya itu yang mampu keluar dari mulut Shafa. Hadiah yang berbalut kemas dihulurkan. Azad mengambil hadiah dari tangan Shafa.
" Terima kasih sebab sudi datang jemput abang pulang hari ni. Dan terima kasih juga sebab bagi hadiah ni. Maaf, abang tak beli apa-apa pun untuk Hanna." Abang? Adoila... sedapnya suara Lee Dong Wook celup ni. melting...melting...eh? kejap. Dia panggil aku Hanna? Dulu pun dia panggil aku Hanna ke? Tak pernah lagi ada orang yang panggil Shafa dengan nama Hanna.
" Dah, jom balik rumah, sambung berbual dan melepaskan rindu dekat rumah pulak. Kejang pulak kaki tu nanti dok tercegat je merenung macam patung cendana." Selamba Tan Sri Zaharul smash tepat kemuka Azad dan Shafa. Mereka mula melangkah meninggalkan ruang ketibaan.
" Shafa." Shafiq menghampiri Shafa saat mereka bergerak menuju ke parkir kereta.
" Apa?" Tanya Shafa. Nak usik aku lah ni... fikir Shafa.
" Ada feeling cam heroin jemput oppa army abis tugas tak? Ala yang macam dalam drama korea Shafa dok tengok tu." Tanya Shafiq.
" Eh, Aah la kan... macam dalam cerita My Little Bride kan?" jawab Shafa sambil tersenyum-senyum.
" Hahahaha." Terdengar ketawa jahat dari mulut Shafiq. Baru Shafa sedar, abangnya sedang mengenakannya.
" Abang!!!" Eeee... malunya!!!! Shafa jerit dalam hati. Rama-rama dalam perut dah mula mengepak-ngepak.
Sebaik tiba di tempat parkir kereta, Semua beg Azad dimasukkan oleh Pak Man pemandu Tan Sri Zaharul kebahagian belakang Alphard putih itu. Cuma hadiah dari Shafa saja yang masih digenggaman Azad.
" Shafiq, kunci kereta?" Tiba-tiba Azad meminta dari Shafiq. Shafa pandang hairan.
" Nah, kau bawa elok-elok. Aku baru beli tu. Awek aku pun tak naik lagi. Paling penting tu jaga tuan puteri tu baik-baik. Korang jangan nak menyimpang ke taman bunga pulak. Terus balik. Aku tunggu dekat rumah ayah kau." Sengaja Shafiq kuatkan perkataan tuan puteri. Hishh... Nak kena tau abang aku ni. Alahai... agenda apa pula yang diorang dah plan ni?
" Shafa naik kereta dengan Azad. Mak Shafa dengan abang Shafiq naik kereta papa. Kita jumpa dekat rumah ye. Tentu Shafa dan Azad nak berbual-bual. Papa kasi chance." OMG.... dah dua kali Tan Sri Zaharul bahasakan dirinya papa ni. Sah, memang sah... Tak lama lagi ada kenduri nasi minyak dekat rumahnya. Habislah kau Shafa.
" Hanna sihat?" tanya Azad sebaik mereka melabuhkan punggung dalam kereta Nissan Almera milik Shafiq. Hanna sekadar menggangguk. Sumpah makan kimbap tiga batang, memang dia malu gila berduaan dengan Azad saat ini.
" Boleh abang buka hadiah Hanna ni?" Tanya Azad sambil menggoncang kotak tersebut.
" Bukalah." Jawab Shafa. Kau dah kenapa Shafa? Sepatah-sepatah je perkataan keluar dari mulut becok kau yang tak pernah diam ni? Hilang taring kau jumpa abang tentera handsome ye? Shafa memerhatikan azad membuka hadiah dengan cermat.
" Wow! Mahal ni.... Terima kasih Hanna. Abang akan gunakan dan jaga dengan sebaiknya. Abang akan ingat Hanna setiap saat bila abang pakai jam ni." Azad tersenyum lebar melihat pada jam tangan Tissot warna perak itu. Terus ditanggalkan jam Tag Heuer yang sedang dipakainya. Jam yang Shafa hadiahkan pula menghiasi tangannya kini. Shafa senyum. Ohh! bila pakai je la ingat... bila tak pakai tak ingat kat aku la... Oppss... Hanna tutup mulut. Nasib baik kata-kata tu hanya terlintas dalam hati. Kalaulah meluncur keluar dari mulutnya tadi, mau dia keluar dari kereta tahan teksi dan terus balik ke Melaka saat tu juga.
" Kenapa Hanna bagi abang jam ye kalau boleh abang tahu?" Tanya Azad. Enjin kereta dihidupkan dan mula meluncur perlahan.
" Entah. Mungkin sebab jam tu simbolik pada masa. Masa yang telah berlalu dalam hidup Sha.. err.. Hanna selama dua puluh dua tahun ni. Masa yang telah hilang berlalu membawa kenangan kita bersama." Hoi! apa yang kau cakap ni Shafa.... Malunya.... Shafa pejam mata, rasa nak tampar-tampar mulutnya saat itu.
" Kenangan tu tak pernah hilang Hanna. Cuma ia tersimpan. Dan sekarang abang yakin Hanna dah mendapatkannya kembali kan? Kalau tak, masa kan Hanna ada disebelah abang sekarang ni." Azad senyum penuh makna. Dia bersyukur Nur Shafa Hanna telah mengingatinya semula.
" Azad.. Boleh Sha...err.. Hanna tanya sesuatu?" Shafa pandang muka Azad yang sedang memandu. Kacaknya.... Shafa rasa dah jatuh cinta terguling-guling.
" Abang! panggil abang kan lebih manis. Beza umur kita tiga tahun tau. Nak tanya apa?" Azad pandang sekilas wajah Shafa. Tumpuannya kembali kepada pemanduan.
" A..a...abang memang panggil Shafa Hanna ke dari dulu?" Tanya Shafa. Adoi.. susahnya nak sebut abang.
" Tak. Dulu abang panggil Shafa. Tapi sejak setahun yang lepas, abang biasakan lidah abang panggil Shafa ... Hanna. Kenapa? Hanna tak suka ke?" Azad pula bertanya.
" Bukan tak suka. Hairan je.. Sebab takde siapa panggil Hanna dengan nama tu.Tapi, kenapa abang tukar panggil Hanna?" Shafa tanya lagi. Masih tak puas hati ye Cik Nur Shafa Hanna. Dah memang-memang Hanna tu pun nama kau. Melantak pi lah dia nak panggil pun.
" Sebab... Nama Hanna lebih manis, nama Hanna lebih lembut, nama Hanna lebih manja dan nama Hanna lebih berbunyi macam nama idols kpop yang Hanna dok gila-gilakan tu." Jawab Azad lagi.
" Oh... Hah? Idols kpop? Ala... ini mesti kerja abang Shafiq kan? Apalagi hal Hanna yang dia bagitahu abang? Eee.. nak kena tau abang Shafiq ni." Shafa dah terbayang-bayang dia picit-picit mulut abangnya yang takde insuran tu. Penumbuknya dikepal bagai tak sabar nak dilepaskan kemuka Shafiq. Nanti la... bisik hati kecil Shafa.
Selepas makan malam bersama dirumah Tan Sri Zaharul malam itu, mereka duduk berkumpul di ruang tamu sambil menikmati kopi bancuhan Mak Jah isteri Pak Man. Mereka pun tinggal dirumah Tan Sri Zaharul rupanya. Baik juga bapak mertua aku ni. Shafa gelak kecil. Belum apa-apa kau dah gelar Tan Sri tu bapak mertua kau Shafa. Memang kronik dah angau kau ni Shafa oii...
" Apa yang Shafa gelakkan tu?" Tanya Tan Sri Zaharul tiba-tiba.
" Hah? Oh.. kopi Mak Jah ni sedap betul." Cover.. cover... Shafa dah nak pitam.
" Nanti bolehlah Shafa belajar buat kopi yang sedap tu dari Mak Jah lepas kahwin. Azad memang suka minum kopi lepas makan malam." Tan Sri Zaharul sengaja mengusik Shafa. Wajah Shafa dah merah macam Tteokbokki.
" Sudah-sudahlah mengusik si Shafa tu Zaharul. Karang ada yang tak nak ikut akak balik pulak. Ialah... Jasad je di Melaka hati ada di Kuala Lumpur ni." Wah Mak aku ni... bukan dia nak sebelahkan aku. Jadi penambah perisa pulak dia.
" Ni, kira jadilah ye rancangan kita tu Kak Chah? Minggu depan saya bawak rombongan meminang ye? Boleh Shafa?" Tan Sri Zaharul tanya empunya diri. Boleh! Laju je Shafa menjawab. Nasib baik dalam hati. Gelojoh bebenor.. Shafa hanya menundukkan wajahnya ke lantai. Malu lah konon. Choiii!!
" Kalau diam tu maknanya setuju lah tu Pakcik." Wah.. wah.. wah... sejak bila pulak aku lantik abang Shafiq jadi penterjemah body language aku lak ni?
" Kalau ada cincin boleh pakcik merisik terus Shafa malam ni alang-alang. Tapi Pakcik tunggu Azad balik dulu baru nak pergi beli dengan dia konon. Esok lusa lah cadangnya." Sedih suara Tan Sri Zaharul.
" Siapa kata takde cincin? Adalah papa... " Azad mencelah.
" Hah? Bila kamu beli?" Tanya Tan Sri Zaharul. Soalan papanya tidak dijawab Azad. Dia naik keatas menghilang kebiliknya. Seketika kemudian Azad turun membawa sebuah kotak baldu bewarna merah lalu dihulurkan kepada papanya. Kotak dibuka, sebentuk cincin emas berbatu delima warna merah bentuk hati terletak cantik.
" Arwah mama yang bagi pada Azad. Lama dah. Mama suruh Azad beri pada wanita yang berjaya menawan hati Azad. Dan semua orang pun tahu kan, dari dulu sampai sekarang Hanna sajalah wanita yang ada dalam hati Azad." Selambanya Azad ni bercakap. Oksigen...oksigen... Shafa dah nak pengsan. Saat Mak Chah menyarungkan cincin delima milik arwah mama Azad ke jarinya, Shafa hanya mampu memanjatkan doa agar perhubungan ini diberkati dan berkekalan.
Tiga bulan telah berlalu. Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Khemah terhias indah dihalaman rumah Mak Chah. Warna krim dan ungu muda menjadi pilihan. Makanan dan minuman sedang rancak dihidangkan. Sanak saudara memenuhi setiap sudut rumah Mak Chah. Jiran tetangga turut datang menghulur tenaga membantu kelancaran majlis. Begitulah muafakatnya hidup di kampung. Diatas rumah, pihak pengantin lelaki baharu saja tiba. Sebuah pelamin mini dibina dan dihias indah untuk majlis akad nikah yang akan berlangsung sebentar lagi. Azad Hadif telah bersedia untuk dinikahkan. Segak berbaju melayu cekak musang warna putih gading, Nur Shafa Hanna juga tak kurang hebatnya berdandan cantik dan berbusana muslimah potongan jubah moden warna yang sedondon. Dengan sekali lafaz, sah lah Nur Shafa Hanna menjadi Puan Azad Hadif. Bercucuran airmata Mak Chah dan Shafa sebaik lafaz disahkan. Bahagia dan hiba bercampur baur. Selesailah sudah tanggungjawab Mak Chah membesarkan dan mendidik Shafa sebagai seorang wanita dan muslimah. Malam tadi panjang lebar dia memberikan nasihat dan bimbingan kepada Shafa mengenai tanggungjawab baru Shafa sebagai sorang isteri. Doa dipanjatkan Mak Chah semoga pernikahan anaknya itu diberkati dan mendapat keredhaanNya. Shafa dan Mak Chah berpelukan. Mak Chah kesat airmata diwajah Shafa. Dahi anaknya dikucup lembut. Sebaik selesai menunaikan sujud syukur, Azad menghampiri Shafa yang sedia menanti diatas singgahsana yang indah. Azad hulurkan tangan kepada Shafa. Shafa sambut dengan penuh perasaan yang berbunga. Tangan suaminya disalami dan dikucup mesra. Sebuah ciuman hangat yang menggetarkan dada Shafa singgah didahinya. Kemudian Azad meletakkan tangan kanannya diatas kepala Shafa.
" Nur Shafa Hanna binti Haji Sulaiman. Abang nikahi kamu bersaksikan Allah dan Rasul serta kaum keluarga dan sahabat handai hari ini. Abang berjanji akan menjadi suami yang terbaik untuk Hanna dan ayah yang hebat untuk bakal anak-anak kita. Abang harap Hanna akan sentiasa berada disisi abang dalam menempuhi cabaran hidup berumahtangga. Seandainya abang melakukan sesuatu yang khilaf sudilah Hanna menegur dan memimpin abang kejalan yang benar. Begitu juga jika Hanna melakukan khilaf terimalah teguran abang dengan hati yang terbuka. InsyaAllah abang akan cuba menjadi imam dan khalifah didalam keluarga kita. Begitu jugalah abang berharap agar Hanna dapat menjadi srikandi keluarga dan bidadari syurga di hati abang. Bersama-samalah kita berusaha dalam mendapat keberkatan dan keredhaan dariNya." Airmata Shafa bercucuran saat Azad melafazkan ikrar pernikahan mereka. Sungguh Shafa tidak sangka Azad begitu romantis orangnya. Sebuah lagi kucupan singgah diubun-ubun Shafa pula. Sungguh, saat ini tiada perkataan yang mampu menggambarkan kebahagiaannya. Tangan Shafa digenggam erat Azad Hadif. Seutas rantai emas putih dihulurkan kepada Azad. Azad menyambutnya dan mengalungkan dileher Shafa. Ada dua loket huruf A dan H berbatu zamrud hijau tergantung cantik. Shafa tersenyum bahagia.
Tiada majlis persandingan atau tepung tawar dilakukan seperti kebiasaannya dirumah Shafa. Hanya sekadar makan beradab dan sessi bergambar bersama raja sehari. Sebuah sudut dihias cantik untuk kaum keluarga dan sahabat handai mengabadikan kenangan bergambar bersama. Menjelang petang majlis indah itu selesai dengan meriahnya. Yang tinggal hanyalah beberapa kerat penduduk kampung dan saudara terdekat yang sibuk mengemas dan mencuci. Kerusi meja telah disusun di suatu sudut dibawah khemah. Sampah sarap yang bersepah juga telah dikutip dan dikumpulkan. Shafa dan Azad baru usai solat asar berjemaah didalam kamar. Shafa melipat telekung dan sejadah yang digunakan lalu disangkut ditempat yang disediakan. Walaupun telah hampir tujuh jam mereka bergelar suami isteri, perasaan malu masih lagi menebal didada Shafa.
" Hanna..." Panggil Azad lembut. Shafa menoleh ke arah Azad yang sedang duduk diatas katil.
" Sini sayang... " Azad menepuk-nepuk tilam mengisyaratkan supaya Shafa mendatanginya. Gulp! Shafa telan liur. Awal lagi kot. Takkan nak panjat katil dah. Otak kotor Shafa dah mula bekerja. Orang kat luar pun ramai lagi takkan dah nak manja-manja? Habislah kau Nur Shafa Hanna... Lambat-lambat Shafa mendekati Azad. Punggungnya dilabuhkan diatas katil. Jauh sedikit dari Azad.
" Dekatlah sikit sayang... bukan abang nak buat apa pun... kalau nak buat pun apa salahnya kan? " Azad sengaja mengusik Shafa yang dah pucat. Tangan Shafa ditarik lembut Azad agar mendekatinya.Dengan hati yang penuh debar Shafa merapati Azad. Sebuah kotak bewarna merah jambu yang cantik beriben warna emas diserahkan kepada Shafa.
" Apa ni abang?" Tanya Shafa lega. Fuhh! suspen je...
" Hadiah untuk sayang lah.. Buka tengok sendiri. Abang harap sayang suka. Ini balasan untuk jam yang sayang hadiahkan pada abang hari tu." Jawab Azad. Gila tak suka. Dapat hadiah mestilah suka. Tapi aku lagi suka dengar Azad panggil aku sayang. Arghhh!!! Melting..Melting.... sabar Shafa. Bawak mengucap. Kotak itu dibuka dan.... airmata Shafa memang murah hari ini. Sebaik terpandang benda didalam kotak itu dia menjadi kaku dan terdiam. Tidak tahu apa yang patut lidahnya tuturkan. Azad lap airmata Shafa dengan hujung baju melayunya. Shafa ambil kepingan kertas berupa tiket kapal terbang yang terletak didalam kotak itu. Ada empat keping semuanya. Dua keping tertulis Seoul sebagai destinasi bertarikh Sabtu minggu depan dan dua keping lagi tertulis Jeddah bertarikh seminggu kemudian.
" Abang..." Shafa dah hilang malu.Tubuh Azad dipeluk erat dan wajahnya disembamkan didada bidang Azad. Terhinggut-hinggut Shafa menangis kegembiraan.
" Abang tahu, sayang dah lama nak pergi Korea kan? Sekarang tengah autumn tau. Just a perfect time to having a honeymoon. Lepas tu kita sambung buat umrah. Papa, mak dan abang Shafiq pun ikut sama. Tapi diorang jumpa kita dekat Jeddah lah. Takkan diorang nak kacau daun kita honeymoon pulak kan?" Makin laju airmata Shafa mengalir. Ya Allah aku bersyukur Kau temukan aku dengan lelaki yang sangat menyayangi aku. Shafa memanjatkan kesyukuran.
" Terima kasih abang..." Tangan Azad dicapai lantas dikucup mesra.
" My plesure sayang..." Azad cium pipi Shafa hangat. Pelukan makin dieratkan.
" Oppa... Saranghae... " Shafa pandang wajah Azad. Buat muka comel sambil kelip-kelip mata. Comel lah sangat kononnya tu. Azad tarik hidung Shafa.
" Salah lah... macam ni... Yeobo, naneun neoreul sarang hada..." Ternganga mulut Shafa memandang suaminya. Hidungnya dicuit Azad. Mulut Shafa ditutup dengan telapak tangannya.
" Apa? Ingat abang tak pandai ke? Abang pun suka tengok drama korea lah." Azad buat muka selamba. Terus bangun. Tangan Shafa diraih.
" Jom, tolong apa yang patut kat luar. Nanti diorang ingat kita buat apa pulak lama-lama dalam bilik." Oh! indahnya dunia dikurniakan suami macam Azad Hadif. Sumpah! Kalau letak Lee Min Ho dan Lee Dong Wook saat ini didepannya dia tetap akan pilih Mejar Azad Hadif.
I want nobody...nobody but you
I want nobody...nobody but you
Hati Nur Shafa Hanna berlagu riang......
TAMAT
Words Of The Day.... ((^_^))
Oppa - Abang / Kekasih ( perempuan yang panggil )
Omma- Emak
Saranghae - Aku cinta padamu
Dangsin-eul saranghabnida - Aku pun mencintaimu
Dangsin-eun jeowo gyeolhon hal geos-inga? - Sudikah kau mengahwiniku
Omo..omo... - Amboi-amboi
Micheossuh - Gila
Michyeoganda - Boleh jadi gila macam ni
Yeobo - panggilan sayang untuk suami / isteri
Naneun neoreul sarang hada - saya amat mencintai awak
Pada yg sudi singgah membaca tu... plz do leave a comment... untuk saya perbaiki mana yang kurang... ♡♥♡♥
ReplyDeletemaaf, mmg guna tulisan mcm ni ke? susah nak baca ToT
ReplyDeleteEomma not omma...sory betulkan👌👌
ReplyDelete